[Bersambung dari "Tip Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 1)"]
Tip #6. Sentiasa Bersyukur kepada Allah
Setiap waktu dan ketika, kita sebagai hamba-Nya wajib bersyukur atas segala 
kurniaan-Nya. Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah 
SWT. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang 
bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku 
kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat 
keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang 
bersyukur.” (Ali Imran: 145)
Tip #7. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Al-Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau Asma’ul husna selain menenangkan, 
menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan 
ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman 
dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara 
konsisten 7 kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah 
lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi 
sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah 
Ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk 
mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, Ya Fattah Ya ‘Alim.” Ada 
juga hadis menyebut, siapa yang mengamalkan membaca surah al-Waqi’ah setiap 
malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Insya-Allah.
Tip #8. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba itu dekat dengan Allah, penuh bergantung dan 
mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah menyuruh 
kita meminta kepada-Nya, nescaya DIA akan perkenankan dan jangan sesekali 
bergantung harap kepada yang lain, kerana perbuatan sedemikian adalah syirik 
yang merupakan dosa besar.
Tip #9. Berikhtiar atau berusaha sehabisnya
Barangsiapa yang berusaha, pasti dia akan mendapat sesuatu atau memperolehi 
hasilnya. Perkara ini adalah sunnatullah. Dalam satu hadis sahih, dikatakan 
bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak 
dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah berikan kepada orang yang dicintai-Nya 
sahaja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Sebagai orang beriman, tentulah kita perlu mencari sebab-sebab yang boleh 
membawa kepada kemurahan rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang 
hati bacalah Al-Quran, hendak dapat anak yang baik, didiklah mereka sejak anak 
dalam rahim lagi, hendak sihat jagalah pemakanan dan makan makanan yang baik dan 
halal, hendak mendapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak 
memperolehi rezeki berkat jauhilah perkara yang haram, dan sebagainya.
Tip #10. Bertawakal
Dengan bertawakal semata-mata kepada Allah SWT, seseorang itu akan 
direzekikan dengan rasa kaya jiwanya. Ini bersesuaian dengan Firman Allah SWT 
dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Barangsiapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan 
(keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi Muhammad SAW pula telah bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, 
nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan 
petang hari telah kenyang.”(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, 
al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. 
Dengan takwa, Allah akan beri “Jalan keluar (dari segala perkara yang 
menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di 
hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Sebagai kesimpulan, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang 
sebenarnya, kunci utamanya adalah melaksanakan amalan-amalan takwa. 
Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi 
hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Sekian, 
moga bertemu lagi dalam keluaran seterusnya. Salam ukhuwah dari kami di Majalah 
IK. Wassalam.
View the original article here

