Kegagalan perniagaan Internet (Bahagian 2)


Laman web perniagaan pasif

Selepas membaca buku ini, anda akan dapat mendirikan perniagaan anda di Internet. Tetapi, dengan hanya memiliki laman web di Internet, tidak menjanjikan ganjaran apa-apa buat anda!

Laman web yang tidak dijaga dan diurus, serta tidak dipromosikan akan menjadi sia-sia sahaja. Langkah #4 iaitu mempromosikan laman web anda adalah langkah yang paling penting dalam menentukan kejayaan perniagaan anda. Anda perlu ingat yang terdapat berjuta-juta laman web, jadi bagaimana pelayar Internet akan menjumpai laman anda tanpa promosi?

Masa dan tenaga (tidak semestinya wang) perlu dilaburkan untuk mempromosi laman web anda. Anggap laman web anda seperti anda mempunyai kedai tradisional. Sudah pasti anda akan mempromosikan kedai anda dengan bermacam-macam cara untuk menarik pembeli. Betul?

Malangnya, ramai yang berpendapat bahawa setelah laman web siap dibina, kerja memulakan perniagaan di Internet berakhir.

Mendirikan perniagaan di Internet adalah langkah pertama tetapi bukan langkah terakhir. Promosi laman web anda adalah kerja yang berterusan! Namun, terdapat juga cara-cara yang membolehkan promosi perniagaan anda secara automatik.

Promosi laman web merupakan aktiviti yang PALING penting dalam perniagaan Internet dan akan dibincangkan dalam bahagian seterusnya.

Boleh diibaratkan mendirikan laman web adalah hanya 10 peratus dari menjalankan perniagaan di Internet. 90 peratus lagi adalah dalam mempromosikannya!

Tidak mengendahkan pelawat

Satu kebaikan Internet adalah dengan membenarkan interaksi pelawat laman web dengan anda. Cara termudah adalah melalui e-mel.

Segala komen dan pendapat pelawat anda haruslah diambil kira untuk memperbaiki laman web dan perniagaan anda. Tanpa pengguna, siapalah anda? Pengguna akan dapat memberi tahu anda apa yang mereka perlukan dan apa yang mereka suka di laman web anda.

Anggap komen positif dan negatif sebagai asas untuk memperbaiki laman web anda untuk berjaya!


Mengabaikan undang-undang dan etika Internet

Undang-undang Internet masih di ruang yang kelabu. Namun begitu, amalan-amalan yang tidak sihat dan hanya akan memusnahkan perniagaan anda.

Mungkin keuntungan boleh dipungut untuk seketika, tetapi ianya akan merosakkan perniagaan anda di masa yang akan datang. Amalan seperti promosi membuta tuli yang mengakibatkan spamming adalah amat merbahaya untuk perniagaan anda! Tindakan seperti penggantungan Merchant Account dan Web Hosting boleh dikenakan sekiranya etika-etika perkhidmatan tertentu tidak diikuti.

Produk dan perkhidmatan yang salah

Pemilihan produk atau perkhidmatan perlulah dilakukan sebelum dipasarkan di Internet. Hakikatnya, tidak semua produk atau perkhidmatan boleh dipasarkan dengan berjaya melalui Internet. Walaupun kebanyakan barangan yang tahan lama boleh diniagakan di Internet, mungkin barangan yang tidak tahan lama sukar dipasarkan.

Sebagai contoh, menjual ikan segar dari Terengganu ke Switzerland!

Jangan lupa cara terbaik menentukan produk dan perkhidmatan terbaik di Internet, iaitu mencari permintaan terlebih dahulu sebelum menentukan perniagaan anda.



Personal Development