Kegagalan perniagaan Internet (Bahagian 1)


Tidak lama dahulu, evolusi Internet bermula. Berbagai-bagai syarikat memulakan perniagaan di Internet. Sebilangan mencapai keuntungan yang cemerlang, manakala selebihnya tidak berjaya.

Berjuta-juta dolar juga telah dilaburkan pada perniagaan Internet. Ada yang meningkat maju seperti Amazon.com dan Dell.com yang berjaya mengaut keuntungan yang lumayan dan menjadikan pengasasnya bilionair. Ada juga yang rebah seperti Boo.com dan Go.com di mana berjuta-juta wang pelaburan lesap entah ke mana.

Kegagalan syarikat .com adalah kerana beberapa sebab:

Tiada perancangan

Pepatah orang-orang tua ‘Jangan berlari sebelum anda pandai berjalan.’ Seperti perniagaan yang lain, perniagaan di Internet memerlukan perancangan yang rapi.

Jangan gelojoh ketika memulakan perniagaan di Internet, lakukannya langkah demi langkah. Anda perlu ketahui bahawa terdapat banyak masa dan ruang untuk berkembang pada masa yang akan datang.

Anda juga boleh membuat jadual perancangan untuk merekodkan perkembangan perniagaan Internet anda. Contohnya, membuat perancangan mingguan. Dalam masa seminggu, apa yang anda ingin buat untuk perniagaan anda? Mungkin menambahkan lagi maklumat produk anda, ataupun menambahkan lagi informasi berguna untuk pelawat laman web anda.

Perancangan amat penting untuk memastikan semua kerja berjalan dengan lancar dan teratur. Dengan membuat kerja sedikit demi sedikit untuk memperbaiki laman web anda, lama kelamaan anda pasti akan mempunyai laman web yang hebat.

Sebagai contoh, jika anda ingin membina laman web yang mengandungi tip-tip dan cara menjahit, anda boleh mengambil masa dua jam sehari untuk menulis satu tip dan mengembangkannya kepada satu muka surat.

Jika diikuti perancangan anda, setiap hari satu muka surat, dalam masa tiga bulan, laman web anda sudah mencapai 100 muka surat! Satu laman web yang penuh dengan informasi yang menarik untuk sesiapa sahaja yang minat menjahit!

Cuba lakukan segalanya seorang diri 

Tidak semua orang dapat mendirikan perniagaan di Internet seorang diri. Seringkali anda perlu memberi atau membahagikan pekerjaan bersama rakan-rakan perniagaan ataupun upah orang luar yang berpengalaman.

Dengan cara ini, anda dapat mengurangkan beban kerja anda dan perniagaan dapat dilakukan dengan lebih lancar. Mungkin anda boleh membuat isi kandungan laman web tersebut, tetapi mungkin anda ingin mengupah pereka laman web untuk menyediakan grafik untuk laman web serta atur cara asas.

Pembahagian kerja amat penting untuk membantu anda.


Bersambung di bahagian 2....

Personal Development