Apakah kriteria-kriteria menjadi usahawan Internet yang berjaya? (Bahagian 1)



Bila difikirkan, jawapannya tidak jauh lari daripada kriteria seorang usahawan bukan Internet. Kreatif, inovatif, berpandangan jauh, sanggup mengambil risiko, tidak mudah putus asa, bijak membahagi-kan tugas dan sebagainya menjadi norma bagi kriteria seorang usahawan. Untuk menjadi usahawan Internet yang berjaya, kesemua kriteria yang dimiliki oleh usahawan bukan Internet perlu ada pada diri sendiri. 

Namun, apabila dilihat dengan lebih terperinci, terdapat beberapa kriteria tambahan yang perlu ada pada usahawan Internet untuk berjaya berbanding dengan usahawan bukan Internet. Berikut adalah kriteria-kriteria tambahan yang dimaksudkan: 

Aktif dalam pemasaran 

Salah satu kebaikan perniagaan di Internet adalah pasaran dunia. Dengan kos yang minima, seseorang itu boleh meniagakan produk atau perkhidmatannya kepada pelanggan serata dunia.

Apa yang perlu diingat juga adalah, apabila anda mengembangkan perniagaan anda untuk mencapai pasaran dunia, pesaing anda juga adalah pesaing-pesaing global. Untuk berjaya, usahawan Internet perlu aktif dalam memasarkan perniagaan Internetnya. Perniagaan menjadi semakin kompetetif oleh kerana anda harus bersaing dengan usahawan-usahawan luar yang berlumba-lumba memberi kualiti terbaik di serata dunia.


Fleksibel 

Oleh kerana perubahan teknologi akan tiba pada bila-bila masa sahaja, seseorang usahawan Internet perlu fleksibel dalam menjalankan perniagaannya. Pertukaran teknik dan kaedah diperlukan dari semasa ke semasa untuk menampung peredaran perniagaan Internet.

Sebagai contoh, teknologi baru telah memperkenalkan laman web berbentuk FLASH yang boleh menggunakan animasi dan kesan bunyi untuk menggantikan laman web HTML yang statik. Teknologi Quicktime pula membolehkan klip video dimainkan di laman web. Perkhidmatan seperti YouTube pula membolehkan klip video dimainkan di laman anda secara terus.

Menjadi fleksibel membolehkan perniagaan anda mencuba kaedah baru dalam mendapatkan lebih ramai pelanggan. Perkara penting dalam memaksimumkan jumlah pelanggan adalah dengan cara mencuba keberkesanan pelbagai teknik dan menggunakan teknik-teknik yang memberi pulangan terbaik.


Bijak memenuhi peluang pasaran yang ada 

Perniagaan Internet di Malaysia masih di tahap yang baru. Terdapat banyak ruang kosong dari segi peluang pasaran yang belum dipenuhi. Ini merupakan satu kelebihan bagi mereka yang bijak mengambil peluang memenuhi kekosongan tersebut untuk memulakan perniagaan.

Di kebanyakan negara-negara barat, hampir kesemua kategori pasaran telah dipenuhi dengan laman perniagaan yang berkaitan. Di Malaysia, masih banyak peluang terbuka dan mereka yang bijak memenuhi ruang pasaran tersebut akan berpeluang menjadi ketua kategori perniagaan Internet tempatan.

Bersambung di Bahagian 2

Personal Development