Pilihan model bisnes Internet



1. Lelongan online (eBay & Lelong)

Model bisnes Internet ini yang berbentuk lelongan dalam talian (online) menggunakan kekuatan portal lelongan online seperti Lelong dan eBay. Anda menjadi ahli di mana-mana portal tersebut dan anda boleh terus mendapat akses untuk menjual produk atau barangan anda kepada ahli-ahli yang terdapat di dalam portal tersebut. Ahli di portal Lelong.my sudah mencapai melebihi 300,000 orang manakala ahli di portal eBay.com sudah mencapai melebihi 10 juta orang!


2. Keahlian (membership)

Model bisnes Internet ini memerlukan anda memiliki nama domain dan hosting laman web anda sendiri iaitu laman web yang menawarkan peluang keahlian kepada orang lain. Terdapat pelbagai contoh keahlian yang boleh anda tawarkan seperti perkhidmatan menulis artikel secara bulanan atau memberikan produk-produk berserta Hak Penjualan Semula (Resell Rightssecara bulanan kepada ahli-ahli anda. Pendek kata, setiap ahli perlu membayar yuran secara berkala kepada anda selama mana mereka masih menjadi ahli di laman web anda.


3. Facebook

Portal Facebook menawarkan peluang kepada kita untuk memulakan bisnes Internet kita di situ. Secara ringkasnya, portal Facebook membolehkan kita membuat jualan secara terus kepada orang lain melalui ruangan tertentu yang disediakan oleh Facebook seperti melalui fanpage yang kita sediakan atau melalui group yang kita hasilkan di dalam portal tersebut. Model bisnes Internet ini menggunakan kekuatan sosial di portal Facebook untuk menjana pendapatan.


4. Affiliate

Secara ringkasnya, model bisnes Internet berbentuk affiliate merupakan apa kita panggil sebagai jurujual atau salesperson di dunia offline. Konsepnya sama seperti seorang jurujual yang menawarkan barangan untuk kita beli di kompleks membeli belah atau di mana-mana tempat lain. Jika ada yang membuat pembelian barangan melalui jurujual tersebut, maka si jurujual akan mendapat komisen daripada setiap jualan yang terhasil. Semakin banyak jualan yang dilakukannya maka semakin banyaklah komisennya.


5. Produk fizikal

Walaupun promosi dan penjualan dilakukan melalui Internet, tidak bermakna bahawa produk-produk fizikal tidak boleh dijual melalui Internet. Malah sebahagian besar daripada keuntungan yang diperolehi dalam dunia Internet adalah melalui penjualan produk fizikal. Selalunya strategi ini digunakan oleh individu atau syarikat yang sudah memiliki kedai konvensional dan ingin meningkatkan capaian jualannya dengan menggunakan medium Internet untuk tujuan promosi.


6. Produk digital

Model bisnes Internet yang fokus kepada penjualan produk digital adalah mudah untuk dilakukan dan tidak memerlukan kos yang besar. Anda cuma perlu ketengahkan idea atau maklumat yang sesuai untuk anda kongsikan dengan orang lain. Idea atau maklumat tersebut boleh dipakejkan dalam format digital dan dijual kepada orang lain yang ingin mengetahui idea atau maklumat tersebut. Ramai orang pada masa kini tidak ingin mengambil masa yang lama untuk mengetahui atau mempelajari sesuatu perkara. Mereka inginkan maklumat tersebut dengan pantas. Oleh itu, mereka sanggup mengeluarkan wang dan membayar orang lain sekiranya dapat memperolehi maklumat tersebut dengan lebih pantas. Inilah yang menggalakkan perkembangan model bisnes Internet berbentuk jualan produk digital.


7. Iklan (classified ads)

Contoh paling hampir untuk model bisnes Internet ini adalah portal Mudah.my. Portal Mudah.my memberikan kemudahan paparan iklan di dalam portalnya kepada semua ahlinya yang ingin menjual. Ahli-ahli lain yang berminat boleh membeli secaraterus daripada penjual tersebut. Secara ringkasnya, portal tersebut menyediakan tapak perniagaan untuk memudahkan pertemuan penjual dan pembeli.


8. Lelongan laman web

Model bisnes Internet ini semakin mendapat perhatian ramai di Malaysia. Malah saya mempunyai seorang sahabat yang merupakan pakar dalam penjanaan wang melalui model bisnes Internet ini. Secara ringkasnya, model bisnes Internet ini menggunakan konsep lelongan laman web dengan contoh terdekatnya adalah portal Flippa.com. Anda boleh bertindak menghasilkan sebuah laman web mengenai apa-apa fokus utama seperti memancing atau berbasikal dan melelongnya di portal Flippa.com kepada orang lain. Jika ada beberapa individu yang menyukai laman web yang anda tawarkan itu, maka mereka akan membida untuk membeli laman web tersebut daripada anda. Pembida tertinggi akan menjadi pemenang dan akhirnya menjadi pelanggan anda.


Ini cuma beberapa model bisnes Internet utama yang sempat saya kongsikan dengan anda di sini. Asalkan kita kreatif, maka peluang untuk menjana wang melalui Internet memang ada. Jika dilihat kepada pelbagai model bisnes Internet yang sedia ada, individu yang masih baru akan mudah keliru dan pening tentang model bisnes Internet yang patut dilakukannya. Ingat! Fokus utama kita agar ianya mampu menjana wang dengan pantas dan ianya juga mampu memberikan pendapatan yang berpanjangan untuk anda.


Personal Development